DUA minggu lamanya kami menjelajah Andalusia di selatan Sepanyol. Perjalanan bermula dari kota Madrid, kemudian diteruskan ke Toledo, Cordoba, Serville, Ronda, Marbella dan akhirnya ke Granada sebelum kembali ke kota Madrid untuk meneruskan penerbangan ke Istanbul. Memang perjalanan menyusuri kesan sejarah Islam di Andalusia meninggalkan impak yang mendalam.
Begitu hebatnya peninggalan kesan-kesan sejarah Islam seperti masjid-masjid yang tersergam gah yang kini kebanyakannya telah diubah menjadi gereja-gereja. Namun, kehadiran kesan peninggalan Islam masih utuh terpahat di dalam gereja-gereja tersebut kerana ayat-ayat Al-Quran di tembok-tembok gereja dan rekabentuk kubah di pintu-pintu gerbang dan bahagian-bahagian bangunan masih lagi jelas kelihatan, sementara menara dan mihrab yang dahulunya pernah menjadi kemegahan Islam masih lagi tidak terusik dalam gereja-gereja tersebut.
Salah satu daya tarikan di Cordoba ialah Masjid Cordoba atau kini digelar Mezquita-Catedral de Cordoba. Masjid Cordoba terletak di ibu kota Sepanyol iaitu Cordoba semasa pemerintahan dinasti Umayyah Khalifah Abdurrahman III pada tahun 787. Pada 1994, Masjid Cordoba telah ditetapkan oleh Unesco sebagai salah satu tempat peninggalan yang sangat bersejarah dan penting di dunia. Di dalam masjid ini terdapat lebih kurang 850 tiang yang tersusun rapi yang menopang kemegahan masjid tersebut. Tiang-tiang itu berbaris sehingga membentuk seperti lorong yang panjang.
Masjid Cordoba dikatakan boleh menempatkan sekitar 20,000 jemaah untuk solat Jumaat ketika pemerintahan khalifah tersebut.
Setelah penaklukan Sepanyol oleh Raja Leon Alfonso VII, Masjid Cordoba berubah fungsinya menjadi sebuah gereja. Beberapa tiang di bahagian tengah masjid kemudian dirobohkan dan diberi penambahan katedral gothik sementara menara masjid itu pula diubah menjadi menara loceng gereja.
Kini Masjid Cordoba diberi nama Cathedral Mezquita (Katedral Masjid). Masjid Cordoba paling terkenal dengan lengkungan gerbang raksasa yang menghubungkan tiang-tiang masjid.
Bahan yang digunakan untuk membuat tiang-tiang ini berbeza; ada yang diperbuat daripada onyx, marmar, granit dan ada juga jasper. Ini membuatkan sesiapa sahaja yang berada di dalam masjid ini berasa kagum. Corak gerbang yang bergaris-garis merah putih pula memberi ciri unik pada dalaman Masjid Cordoba. Pada mihrabnya pula, terukir dengan tinta emas dan biru 99 nama asma Allah swt.
Semasa di Granada pula, tentunya tarikan utama merupakan istana peninggalan Bani Ummayah iaitu Istana Alhambra yang terletak di bukit La Sabica. Istana Alhambra atau dalam Bahasa Arab bermaksud ‘Istana Merah’ tersergam indah setanding Taj Mahal.
Hampir seluruh bahagian bangunan yang didirikan oleh Sultan Muhammad bin Ahmar yang berketurunan Moor, berwarna merah. Alhambra menempatkan sebuah masjid, istana dan kompleks kota silam kerajaan Moor Granada.
Hampir seluruh bahagian bangunan yang didirikan oleh Sultan Muhammad bin Ahmar yang berketurunan Moor, berwarna merah. Alhambra menempatkan sebuah masjid, istana dan kompleks kota silam kerajaan Moor Granada.
Alhambra pernah menjadi tempat tinggal raja-raja Muslim Granada dan menempatkan juga mahkamah mereka. Unesco telah menetapkan Alhambra sebagai warisan budaya peninggalan Muslim Sepanyol. Alhambra tersergam gah di bahagian tertinggi Granada dan kita dapat menikmati pemandangan yang indah keseluruhan kota Granada dari istana tersebut. Di taman Alhambra pula terdapat kolam air pancut yang dihiasi dengan 12 patung singa.
Keistimewaan Alhambra terletak pada tulisan yang begitu indah dalam huruf Arab yang mewarnai dinding dan tiang-tiangnya iaitu ‘Laa ghaliba Illallah’ (tiada kejayaan selain Allah). Kemegahan Alhambra sebagai simbol istana Islam runtuh setelah ia berubah menjadi istana kerajaan Kristian setelah Raja Ferdinand V mengepung Granada selama tujuh bulan pada pertengahan 1491. Granada akhirnya jatuh ke tangan Raja Ferdinand V dan Ratu Isabella pada 2 Januari 1942.
Rakyat Islam Andalusia mempunyai dua pilihan di bawah Raja Katolik (Catholic Monarch) atau Los Reyes Catolicos – iaitu memeluk agama Kristian atau keluar dari Andalusia. Namun begitu, Islam tidak terus lenyap di Andalusia. Pada 2003, terbina sebuah masjid Meszuita Mayor de Granada (Masjid Besar Granada). Masjid baru ini menempatkan dua bahagian iaitu sebuah pusat pengajian Islam, dewan solat dan sebuah taman luas yang dibuka kepada umum. Taman ini menghadap bukit La Sabika, tempat tersergam Alhambra. Daripada taman masjid ini pengunjung akan dapat menikmati pemandangan Alhambra yang begitu indah. Berdekatan dengan masjid ini pula ialah Mirador San Nicolas, sebuah kawasan yang sering dikunjungi oleh pelawat untuk melihat keindahan matahari terbenam di Alhambra.
Masjid Besar Granada ini dibina untuk memenuhi keperluan komuniti Islam di Granada yang semakin meningkat. Sememangnya melihat sendiri kesan-kesan peninggalan sejarah Islam di Andalusia pasti akan menimbulkan perasaan yang berbaur – sedih di atas keruntuhan kerajaan Islam di Andalusia, namun bangga Islam masih segar berkembang sehingga kini. Yang lebih menyentuh perasaan adalah sepanjang perjalanan 10 hari menyusuri Andalusia ini kami ditemani oleh sekumpulan saudara Islam – Tuan Hj Mohammad Carlos Abu Anuar (ketua agensi GoldenPalmGroup International), Abu Zakaria, Ammar, Yasin, Malik, Adnan, Salim dan Mohamad Dominguez. Mereka merupakan saudara-saudara Islam yang menetap di Granada dan bertugas sebagai pengiring pelancong dengan syarikat GoldenPalmGroup International. Memang terasa ukhuwah persaudaraan Islam sepanjang perjalanan dan di setiap perhentian, mereka memastikan keselamatan dan keperluan kami dijaga baik.
Kehadiran lapan bersaudara ini sepanjang perjalanan kami dari lapangan terbang Madrid sehingga Granada membuat kami rasa terharu. Semangat menghidupkan syiar Islam begitu kental dalam diri mereka. Permulaaan perjalanan kami tidak pernah sepi dengan doa dan syukur kepada Allah.
Makanan kami juga dipastikan agar daging-daging halal disediakan dan jadual waktu solat juga telah diberikan. Malah di hotel terbesar di Madrid iaitu Hotel Auditorium, telah tersedia sajadah, Al-Quran dan arah kiblat khas untuk kegunaan kami. Sentuhan yang diberikan oleh saudara-saudara Islam ini terpahat dalam sanubari.
Kami juga sempat berkenalan dengan ahli keluarga mereka yang hadir di majlis makan malam sambil menikmati persembahan nasyid oleh kumpulan Islam di Granada. Pada malam perpisahan di Granada, kami tidak dapat menahan titisan air mata dan rasa sebak. Layanan yang telah diberikan kepada kami terlalu baik dan sukar kami lupakan. Puas rasanya menjelajah Andalusia dan bangga kerana sentuhan Islam yang telah diberi oleh saudara- saudara Islam ini membuktikan Islam masih segar di Andalusia.
Nota: Penulis, Salbiah Abas adalah Ketua Jabatan Bahasa Ibunda di sebuah sekolah menengah di Singapura.
No comments:
Post a Comment