MAYAT DITEMUI: Para penduduk bergegas mengangkat mayat salah seorang mangsa Taufan Besar Haiyan yang mereka temui di bandar Coron di Palawan, sebuah wilayah bahagian tengah Filipina, semalam, sedang pihak tentera negara itu cuba menghulurkan bekalan dan menggiatkan lagi usaha menyelamat dan mencari mangsa. - Foto REUTERS
MANILA: Lebih 100 mayat ditemui bergelimpangan di jalan raya di sebuah bandar di Filipina akibat taufan Haiyan, kata pihak berkuasa semalam, sedang tentera cuba menyelamatkan penduduk di kawasan terjejas.
Haiyan melanda kepulauan Leyte dan Samar di timur Filipina kelmarin, dengan angin sederas 315 kilometer sejam (kph), menjadikannya taufan paling kuat pernah melanda dunia tahun ini dan antara terkuat dalam sejarah.
Rangkaian komunikasi terputus kebanyakan kawasan paling teruk dilanda taufan itu, dengan bekalan kuasa dan rangkaian telefon keseluruhannya musnah, manakala laporan pertama mengenai bencana itu awal semalam memberi gambaran suasana amat tidak menyenangkan.
Di Tacloban, ibu kota Leyte, pengurus lapangan terbang bandar itu melaporkan lebih 100 mayat ditemui bergelimpangan di seluruh bandar itu, dengan sekurang-kurangnya 100 lagi cedera.
Tentera Filipina mengerahkan 15,000 askar ke zon bencana, selain menghantar beberapa pesawat bekalan C-130 ke Tacloban pagi semalam.
Seorang wartawan GMA, sebuah rangkaian televisyen tempatan, juga melaporkan melihat timbunan kira-kira 20 mayat dalam sebuah gereja di Palo, sebuah bandar di kawasan pantai sekitar 10 kilometer ke selatan Tacloban.
Laporan awal dari Tacloban dan Palo mencetuskan kebimbangan lebih ramai lagi mungkin terkorban selepas lebih empat juta penduduk di 36 wilayah tengah dan selatan Filipina terjejas oleh taufan itu, yang kini menuju ke Vietnam dari Laut China Selatan.
Di Hanoi, Vietnam mula memindahkan lebih 100,000 penduduk di wilayah tengah Danang dan Quang Ngai dari laluan taufan itu, menurut media rasminya.
Syarikat Vietnam Airlines pula menasihatkan penumpangnya supaya bersedia menghadapi gangguan atau pembatalan khidmat penerbangan hari ini. - AFP.
"Kami mempunyai laporan mengenai bangunan roboh, rumah musnah, deruan angin begitu kencang dan tanah runtuh.''
- Cik Gwendolyn Pang, ketua Palang Merah Filipina.
No comments:
Post a Comment