Followers

Pages

Tuesday, October 1, 2013

Pelanggaran Hak Cipta: Yahoo! bayar ganti rugi dan kos

FIRMA Yahoo! Asia Pacific Pte Ltd telah membayar ganti rugi dan kos kepada Singapore Press Holdings Ltd (SPH) sebagai antara syarat penyelesaian berhubung satu kes pelanggaran hak cipta.
Yahoo! Asia Pacific, yang sebelum ini dikenali sebagai Yahoo! Southeast Asia Pte Ltd, mengaku telah menyiarkan semula kandungan berita daripada akhbar SPH tanpa kebenaran syarikat media itu menerusi laman web Yahoo! Singapore News.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan kededua syarikat itu semalam, SPH dan Yahoo! Asia Pacific telah mencapai penyelesaian secara damai.

Yahoo! Asia Pacific juga, antara lain, telah berjanji tidak akan melanggar hak cipta SPH secara sedar atau sengaja selepas ini.
Kakitangan Yahoo! yang bertanggungjawab dalam kes itu telah dikenakan tindakan disiplin atau dihentikan kerja.
"Sebagai syarikat penerbit, syarikat-syarikat Yahoo! berusaha menghormati hak milik intelektual pihak lain di mana sahaja mereka menjalankan perniagaan.
"Tindakan sejumlah kecil kakitangan Yahoo! Asia Pacific di sini amat dikesali," menurut kenyataan itu.
Tuntutan mahkamah antara pemilik media tradisional dengan syarikat media baru itu dipercayai yang pertama di Singapura.
Tuntutan itu dikemukakan di Mahkamah Tinggi pada November 2011.
Ketika itu, SPH mendakwa bahawa Yahoo! dalam tempoh 12 bulan antara 16 November 2010 dengan 20 Oktober 2011 telah menciplak secara konsisten dan sengaja menyiarkan semula artikel-artikel SPH tanpa kebenaran.
Terdapat 23 artikel, termasuk berita politik dan jenayah yang pertama kali disiarkan dalam akhbar The Straits Times, The New Paper dan My Paper, dikemukakan sebagai contoh apabila saman itu dikemukakan pada 18 November 2011.
Artikel itu disiarkan di seksyen 'Latest Singapore News' di laman web Yahoo! Southeast Asia.
Pada Ogos tahun lalu pula, SPH mendakwa Yahoo! menerbitkan semula 254 artikel daripada akhbar SPH tanpa kebenaran.
Artikel-artikel itu dikatakan telah diterbitkan antara Julai 2010 dengan November 2011. Antaranya termasuk tiga artikel The Business Times.
Yahoo! sebelum ini menafikan dakwaan itu dan mengemukakan tuntutan balas.
Firma itu memberi contoh dua artikel dan satu gambar daripada laman webnya yang mereka dakwa digunakan laman web SPH, Stomp.
Yahoo! kemudian menarik balik dakwaan bahawa Stomp telah melanggar hak ciptanya, tetapi tetap mendakwa bahawa SPH membuat dakwaan tidak berasas berkenaan pelanggaran hak cipta terhadapnya.
Dalam pernyataan tuntutannya sebelum ini, SPH menunjukkan perenggan, ayat, frasa dan perkataan sama yang digunakan Yahoo! daripada 254 artikel SPH yang didakwa diciplak syarikat Internet itu.
Yahoo! bagaimanapun menyatakan bahawa dakwaan pelanggaran hak cipta itu berhubung dengan fakta dan maklumat, yang tidak dilindungi hak cipta.
KRONOLOGI
November 2011: SPH mengemukakan saman terhadap Yahoo! kerana menyiarkan 23 artikel SPH tanpa kebenaran antara November 2010 dengan Oktober 2011.
Disember 2011: Yahoo! mengemukakan tuntutan balas; beri contoh dua artikel dan satu gambar daripada laman webnya yang didakwa digunakan Stomp dan melanggar hak ciptanya
Ogos 2012:
- Yahoo! menarik balik dakwaan bahawa Stomp melanggar hak ciptanya.
- SPH meminda pernyataan tuntutannya dan mendakwa Yahoo! menyiarkan 254 artikel SPH tanpa kebenaran antara Julai 2010 dengan November 2011.

No comments: