Followers

Pages

Thursday, May 9, 2013

Empat maut bila kapal rempuh menara kawalan


kapal kargo Jolly Nero
REMUK: Sebahagian menara kawalan yang dirempuh kapal kargo Jolly Nero remuk sementara sebahagian lagi terbenam di dalam air. - Foto AP

ROME: Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh setelah sebuah kapal kargo merempuh menara kawalan di sebuah pelabuhan Genoa, Italy, sehingga menyebabkan menara itu tumbang, semalam.

Menurut para pegawai, masih terdapat sekurang-kurangnya enam orang yang tidak diketahui di mana mereka berada, termasuk beberapa orang yang dikhuatiri terperangkap dalam lif menara yang terbenam ke dalam air.
Encik Luca Cari, jurucakap pasukan bomba yang berada di tempat kejadian, memberitahu agensi berita The Associated Press bahawa mayat keempat telah ditemui di kawasan dekat lif menara dan usaha mencari mangsa yang lain masih diteruskan.
Kemalangan itu berlaku sekitar 11 malam kelmarin (waktu tempatan), semasa pertukaran syif dan ini menjadikan usaha mengesan kakitangan sukar dilakukan.
Menjelang pagi semalam, apa yang tinggal daripada menara kawalan itu hanyalah tangga luar yang remuk dan terdampar di sisi.
Menara itu sendiri - yang ditemui di pinggir dok menjulur ke pelabuhan - sama ada terbenam ke dalam air atau 'terlonggok' di dok.
Encik Andrea Furgani, seorang doktor dan salah seorang anggota penyelamat yang mula-mula tiba di tempat kejadian, berkata awalnya pasukan penyelamat membawa empat orang yang cedera ke hospital daerah di Genoa.
"Keadaan mereka kritikal. Pada amnya mereka mengalami kecederaan akibat ditimpa sesuatu, patah tulang dan kecederaan di dada," katanya.
Kapal Jolly Nero, yang merempuh menara kawalan itu dimiliki syarikat Ignazio Messina & C. SpA Italy.
Menurut laman syarikat yang berpangkalan di Genoa itu, ia mempunyai 14 kapal kargo dengan kapal Jolly Nero dikatakan berukuran 239 meter panjang dan 30 meter lebar.
Agensi berita Ansa menukil seorang pegawai syarikat tersebut, Encik Stefano Messina, sebagai berkata insiden seperti itu tidak pernah berlaku kepada syarikat yang diasaskan pada 1921 itu. - AP.

No comments: