Followers

Pages

Friday, April 12, 2013

Anwar janji beri permit teksi kepada golongan yang memerlukan


Datuk Seri Anwar Ibrahim,
TERUSKAN SOKONGAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam kelmarin, cuba meyakinkan pengundi Bandar Tun Razak supaya terus menyokong Pakatan Rakyat. - Foto REUTERS

KUALA LUMPUR: Ketua de facto Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam kelmarin menyasarkan usul tawaran permit teksi dan beberapa janji lain pakatan pembangkang itu kepada golongan miskin di kawasan bandar dalam satu perhimpunan kempen beliau di hadapan para penyokongnya.

Beliau memberitahu penyokongnya yang basah kuyup di sebuah padang bola sepak di Bandar Tun Razak, di Kuala Lumpur, bahawa kebanyakan permit teksi itu kini dimiliki kroni Barisan Nasional (BN).
"Jika anda terus mengundi Umno, MCA (Persatuan Cina Malaysia), Gerakan, anda akan memberi permit-permit itu kepada kroni-kroni," kata beliau kepada para hadirin sempena acara mengumumkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi wilayah persekutuan Kuala Lumpur untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei ini.
"Tetapi di bawah Pakatan, kita akan memastikan mereka yang menerima permit-permit itu adalah mereka yang memandu teksi itu sendiri... kita boleh berikan kepada seorang pemimpin divisyen Umno tetapi hanya jika dia memandu teksi. Jika anda tidak, kami akan ambil balik. Itu sahaja caranya mengajar jenis orang macam ini," katanya lagi.
Sokongan daripada golongan pekerja amat penting bagi pakatan pembangkang itu untuk mempertahankan kubunya di bandar itu.
Pada pilihan raya umum 2008, PR, yang diwakili PKR, Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Islam SeMalaysia (PAS), memenangi tujuh daripada lapan kerusi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Persaingan bagi mendapatkan sokongan golongan pengundi tersebut semakin sengit, dengan BN dilihat memenangi sebahagian besar sokongan itu berikutan pelaksanaan inisiatifnya seperti bantuan wang tunai RM500 di bawah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak, telah berjanji akan mengekalkan BR1M sebagai sebahagian daripada inisiatif pentadbirannya jika BN dipilih semula dengan mandat yang lebih kukuh untuk menguasai Putrajaya pada 5 Mei ini.
Malah, jumlah bantuan BR1M itu akan ditambah daripada RM500 kepada RM1,200.
BN juga berjanji akan menawarkan permit teksi individu.
Datuk Seri Anwar menyifatkan janji-janji itu sebagai satu pembohongan dan menuduh BN mencuri idea PR.

No comments: