Followers

Pages

Monday, December 9, 2013

Yingluck Shinawatra tawar adakan pungutan suara

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Cik Yingluck Shinawatra, semalam mengusulkan agar diadakan satu pungutan suara perihal masa depannya, dan berjanji untuk meletak jawatan jika itu yang diinginkan rakyat Thai.
Ini sedang pembantah antikerajaan Thai bersiap sedia melaksanakan desakan terakhir mereka untuk memaksa beliau melucutkan kuasanya.
Mereka berhimpun di beberapa jalan raya di Bangkok, bertempur dengan polis dan berikrar menggulingkan Cik Yingluck dan menghapuskan pengaruh abangnya, Encik Thaksin Shinawatra, dalam arena politik negara itu.

Encik Thaksin adalah bekas perdana menteri Thailand yang digulingkan tentera Thai pada 2006 dan kini hidup dalam buangan untuk mengelak daripada menjalani hukuman kerana rasuah.
MENGAWAL KERAJAAN: Pasukan antirusuhan Thai mengawal luar pagar Dewan Kerajaan negara itu, yang turut menempatkan pejabat Perdana Menteri Yingluck Shinawatra, lengkap dengan perisai, di Bangkok, semalam, namun Cik Yingluck membayangkan beliau sedia berundur jika satu pungutan suara berkehendakkan demikian. - foto AP
Pemimpin pembantah antikerajaan, Encik Suthep Thaugsuban, yang juga bekas timbalan perdana menteri Thai daripada Parti Demokrat telah menggesa pembantah supaya mengadakan satu demonstrasi terakhir untuk menggulingkan Cik Yingluck hari ini.
Namun, dalam satu kenyataannya menerusi televisyen, Cik Yingluck berkata kerajaan beliau masih mencari jalan untuk menamatkan konflik itu.
"Kita harus adakan satu pungutan suara supaya rakyat boleh memutuskan apa kami harus lakukan," tegasnya merujuk kepada kesediaannya mengadakan pilihan raya jika dipersetujui semua pihak.
Bagaimanapun, Encik Suthep sedar bahawa Cik Yingluck dan partinya mampu menang dalam pilihan raya tersebut, dan sebaliknya menggesa supaya dibentuk satu 'majlis rakyat' untuk menggantikan kerajaan Thai sekarang.
Cik Yingluck menolak idea itu kerana ia dilihatnya melanggar perlembagaan dan tidak demokratik.
"Saya sedia mendengar usul pembantah. Saya tidak ketagihkan jawatan ini... Saya bersedia meletak jawatan dan membubarkan parlimen jika itu yang dikehendaki majoriti rakyat Thai," tegasnya.
Encik Suthep pula mahu penyokongnya mengambil alih kerajaan yang disifatkannya tidak sah dan "rejim Thaksin".
Sementara itu, ahli parlimen (AP) pembangkang Thailand semalam meletak jawatan beramai-ramai.
Satu kenyataan Parti Demokrat berkata 153 AP-nya meletak jawatan daripada dewan rendah yang terdiri daripada 500 kerusi itu - satu langkah yang tidak menghalang Parti Puea Thai pimpinan Cik Yingluck daripada meluluskan undang-undang baru tetapi menimbulkan bantak persoalan terhadap kesahannya.
"Kami telah melaksanakan tugas kami sebaik mungkin... kami tidak boleh berbuat lebih lagi. Kami kesal kerana majoriti dalam parlimen mengkhianati suara rakyat," kata pemimpin Demokrat dan bekas perdana menteri Thailand, Encik Abhisit Vejjajiva.
Tindakan itu menyusuli tawaran Cik Yingluck untuk mengadakan pilihan raya jika pihak pembantah bersetuju dengan proses demokratik itu. - Reuters, AFP.

No comments: