Followers

Pages

Wednesday, March 13, 2013

Jepun peringati ulang tahun kedua bencana gempa dan tsunami


gempa bumi tsunami nuklear Dai-Ichi Fukushima 2011
TOKYO: Jepun semalam memperingati ulang tahun kedua bencana berganda - gempa bumi dan tsunami - yang melanda negara itu dan menyebabkan hampir 19,000 mati atau hilang.
Dalam upacara di Tokyo dan di bandar-bandar gersang sepanjang kawasan pantai timur laut negara itu, mereka yang berkumpul tunduk dan bertafakur seketika bagi menandakan detik 2.46 petang pada 11 Mac 2011 apabila gempa sekuat 9.0 pada Skala Richter - yang terkuat dalam sejarah Jepun - melanda negara itu.

Gempa bumi dan tsunami itu turut menimbulkan bencana nuklear apabila loji nuklear Dai-Ichi Fukushima mengalami kerosakan.
Lebih daripada 300,000 penduduk masih tiada tempat tinggal akibat bencana itu dengan separuh daripada mereka yang dipindahkan merupakan penduduk yang tinggal berdekatan kawasan loji nuklear Fukushima.
Kerajaan Jepun berikrar akan bertindak lebih pantas dalam membersihkan radiasi akibat kerosakan reaktor nuklear itu dan membangunkan semula masyarakat yang kehilangan tempat tinggal.
Namun, ia masih belum merancang strategi bekalan tenaga selepas bencana tersebut, yang merupakan isu utama bagi Jepun yang sedang mengalami kemelesetan ekonomi itu.
Semalam, penduduk yang terpaksa berpindah kerana bencana nuklear itu telah memfailkan tuntutan mahkamah bagi mendapatkan pampasan atas kesengsaraan dan kerugian yang dialami.
Sekitar 800 orang semalam memfailkan tuntutan di Fukushima terhadap kerajaan Jepun dan syarikat Tokyo Electric Power Co, syarikat yang mengendalikan loji nuklear Fukushima, yang kini ditutup.
Mereka menuntut bayaran pampasan sebanyak 50,000 yen ($649.38) sebulan bagi setiap mangsa sehingga kesan radiasi daripada bencana itu dapat dihapuskan.
Ini merupakan proses yang mungkin mengambil masa berdekad-dekad lamanya.
Pertukaran kerajaan lewat tahun lalu memberikan harapan bahawa pihak berkuasa akan mempercepatkan proses pembersihan dan pembangungan semula.
Namun, menurut pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Semula Wilayah Fukushima, Encik Hiroshi Suzuki, harapan berlakunya perubahan besar mungkin tidak bertempat kerana tiada perubahan besar dilakukan kerajaan baru walaupun belanjawan telah ditambah. - AP.
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

No comments: