Followers

Pages

Friday, April 27, 2012

Romney isytihar diri calon presiden Parti Republikan



FASA BARU KEMPEN BERMULA: Encik Romney berucap kepada para penyokongnya di New Hampshire dengan mengisytiharkan dirinya sebagai calon Presiden Parti Republikan. -- Foto AFP

WASHINGTON: Encik Mitt Romney mengisytiharkan dirinya sebagai calon Presiden Parti Republikan selepas memenangi lima pemilihan pendahuluan, semalam.

Mantan Gabenor Massachusetts itu menang di Connecticut, Delaware, New York, Pennsylvania dan Rhode Island.Dengan kemenangan itu, beliau mendapat sekurang-kurangnya 793 daripada 1,144 anggota perwakilan yang diperlukan bagi mendapat pencalonan semasa Konvensyen Kebangsaan Parti Republikan di Tampa, Florida, lewat Ogos ini.


Pencabar terdekatnya, mantan Speaker Dewan Perwakilan, Encik Newt Gingrich, mempunyai 137 perwakilan dan anggota Kongres Texas, Encik Ron Paul mempunyai 79 perwakilan.

Dalam ucapannya di New Hampshire, Encik Romney berkata beliau akan mengalihkan perhatian daripada pemilihan pendahuluan Parti Republikan kepada usaha mengalahkan Presiden Barack Obama, yang merupakan calon Parti Demokrat.

'Selepas 43 pemilihan pendahuluan dan kokus, hari-hari dan malam yang panjang, saya boleh katakan dengan penuh yakin dan rasa terima kasih bahawa anda telah berikan saya satu tanggungjawab yang penuh hormat dan berat ini,' kata Encik Romney.

Beliau berikrar memanfaatkan pengalamannya dalam perniagaan bagi 'memimpin rakyat keluar daripada ekonomi Obama yang lembap dan mencatatkan pemulihan yang dapat mewujudkan pekerjaan'.

Encik Romney dianggarkan mempunyai kekayaan bernilai AS$250 juta ($311 juta).

'Anda mungkin telah dengar bahawa saya berjaya dalam perniagaan - ya, khabar angin itu benar.

'Namun, anda mungkin belum dengar bahawa saya berjaya dengan membantu sebuah perniagaan yang bermula dengan 10 pekerja sebelum berkembang kepada ratusan pekerja,' katanya.

Dengan kemenangan terbaru semalam, Encik Romney kini bakal memulakan fasa terbaru dalam kempennya dengan membandingkan pelan ekonomi Encik Obama dengan apa yang akan ditawarkan oleh beliau.

Beliau bakal menumpukan perhatian kepada rekod kelakonan Encik Obama yang disifatkan 'gagal'.

Berucap kepada rakyat Amerika yang kini menghadapi kesulitan ekonomi, Encik Romney berkata:'Bertahan sedikit masa lagi - negara Amerika yang lebih baik akan bermula malam ini.'

Menurut beliau, Encik Obama 'menyilaukan mata' rakyat dengan menjanjikan 'harapan dan perubahan'.

'Bagaimanapun, selepas kita kembali ke bumi nyata, selepas perayaan dan perbarisan, apa yang kita dapat selepas pemerintahan Presiden Obama selepas tiga setengah tahun?' kata Encik Romney. -- Bloomberg, AFP.

No comments: