Followers

Pages

Sunday, January 22, 2012

Empat calon presiden Republikan berdebat, kritik Obama



DEBAT TERAKHIR: Mantan speaker Dewan Perwakilan Kongres Amerika, Encik Newt Gingrich, bersama isterinya, Cik Callista Gingrich, menyapa penonton menyusuli perdebatan terakhir di Koliseum North Charleston di South Carolina, kelmarin, sebelum pemilihan primari South Carolina diadakan hari ini. -- Foto AFP

NORTH CHARLESTON (South Carolina): Calon Republikan yang semakin mendapat sambutan, Encik Newt Gingrich, menyelar media Amerika Syarikat kerana mengorek masalah lama perkahwinannya.



Beliau turut menyoal pesaingnya, Encik Mitt Romney, tentang dakwaan bahawa Encik Romney mencipta pekerjaan, dalam satu perdebatan penting kelmarin.

Encik Gingrich, Encik Romney, mantan senator berhaluan Kristian konservatif, Encik Rick Santorum, dan wakil veteran, Encik Ron Paul, saling bertikam lidah dan menyelar Presiden Amerika, Encik Barack Obama, sedang mereka cuba mendapatkan kelebihan dalam pemilihan primari South Carolina, yang akan diadakan hari ini.

Encik Gingrich, mantan speaker Dewan Perwakilan Kongres Amerika, telah mengecam moderator perdebatan, Encik John King, kerana memulakan debat itu dengan menyoal beliau tentang dakwaan bekas isteri keduanya, Cik Marianne Gingrich.

Cik Gingrich mendakwa beliau menolak permintaan Encik Gingrich supaya mereka berada dalam perkahwinan terbuka dan bersabar dengan hubungan sulitnya.

'Saya jenuh dengan (tindakan) media elit melindungi Barack Obama dan menyerang (anggota) Republikan,' katanya, disambut sorakan gemuruh penonton.

Encik Gingrich kemudian menafikan dakwaan bekas isterinya itu dan menyifatkan soalan Encik King sebagai soalan yang boleh dianggap keji.

Ketika Encik King bertanya kepada Encik Santorum, jika isu itu berasas, Encik Santorum meraikan konsep bermaafan dalam agama Kristian, namun berkata bahawa para pengundi perlu menimbangkan isu perwatakan apabila mereka memilih calon Republikan yang akan menentang Encik Obama, calon Parti Demokrat, semasa Pilihan Raya Presiden, November depan.

Encik Romney, mantan Gabenor Massachusetts dan seorang pelabur jutawan, berusaha mengelak serangan daripada Encik Gingrich, yang kini berada tidak jauh daripada Encik Romney dari segi sokongan, bahawa beliau mengumpulkan kekayaan sambil memecat pekerjanya.

Menurut Encik Romney, beliau menjangkakan sendaan sedemikan daripada Encik Obama dan bukan rakan Parti Republikan.

'Saya tahu kita akan dihentam teruk oleh Presiden Obama tapi kita akan memaksa beliau menerima dan tunjukkan kepadanya bahawa kapitalisme dan kebebasan adalah apa yang membuat Amerika kuat,' kata Encik Romney.

Encik Romney masih berkeras bahawa beiaulah calon Republikan yang paling berpeluang dipilih sebagai presiden, walaupun sokongan terhadapnya semakin berkurang sementara sokongan bagi Encik Gingrich bertambah.

Semasa perdebatan itu, beliau terus mengutuk calon Demokratik, Encik Obama, yang beliau harap akan dapat beliau tentang sekiranya beliau dipilih sebagai calon Republikan bagi Pilihan Raya Presiden, November nanti.

'Presiden ini adalah hambatan terbesar kepada pertumbuhan kerja di negara ini. Dan kita harus menggantikan Barack Obama untuk memastikan Amerika dapat bergerak semula,' katanya.

Encik Romney, yang menjadi pilihan utama orang kuat Parti Republikan, berharap kemenangan besar di sini akan membantunya mendapat pencalonan bagi menentang Encik Obama.

Namun, calon yang disebut-sebut akan menang itu menghadapi beberapa halangan, kelmarin, apabila Gabenor Texas, Encik Rick Perry, yang menarik diri daripada pencalonan Republikan, memberikan sokongannya kepada Encik Gingrich.

Ini meningkatkan kemungkinan bahawa golongan konservatif yang berpecah akan bersatu menyokong satu calon alternatif untuk menentang Encik Romney.

Pihak berkuasa Iowa juga telah membatalkan kemenangan lapan undi Encik Romney dalam pemilihan kaukus wilayah itu dan mengisytiharkan Encik Santorum sebagai pemenang.

Encik Romney juga menerima kritikan kerana tidak mahu mendedahkan fail cukainya kepada orang ramai setelah mengatakan yang beliau membayar 15 peratus daripada pendapatannya sebagai cukai dan menerima bayaran AS$375,000 ($478,494) untuk sembilan ucapan adalah jumlah yang tidak terlalu banyak.

Semasa perdebatan itu, Encik Romney, berkata beliau akan mendedahkan fail cukainya pada April setelah selesai memfailkan cukainya untuk tahun ini.

Beliau juga memberikan petanda yang beliau akan mendedahkan fail cukai tahun-tahun lalu.

Ketika perdebatan itu, Encik Santorum menggambarkan Encik Gingrich sebagai pemimpin berbahaya dengan kelakuan tidak menentu dan mengutuk pelan jagaan kesihatan Encik Romney di Massachusetts, yang dibenci golongan Republikan.

Calon-calon yang masih bertanding setelah pemilihan primari South Carolina akan bertarung lagi di Florida, yang akan mengadakan pemilihan primarinya pada 31 Januari depan. -- AFP.

No comments: