Followers

Pages

Wednesday, April 17, 2013

Dua letupan gegar Boston ketika maraton


Boston
PANIK: Keadaan menjadi huru-hara setelah dua letupan berlaku dekat garis penamat acara larian Maraton Boston, kelmarin. Dalam keadaan kelam kabut ada yang sempat menghulurkan bantuan kepada mereka yang cedera.- Foto AP

BOSTON (Massachusetts): Siasatan besar-besaran dilancarkan semalam setelah dua bom meletup semasa acara Maraton Boston, yang membunuh sekurang-kurangnya tiga orang dan mencederakan lebih 100 orang.

Letupan kelmarin dekat garisan penamat acara larian itu menimbulkan kebimbangan serangan pengganas lebih sedekad setelah hampir 3,000 orang terbunuh dalam serangan 11 September 2001.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, muncul dalam siaran televisyen nasional untuk memberi amaran agar rakyat Amerika tidak "membuat kesimpulan tergesa-gesa" tetapi seorang pegawai kanan Rumah Putih, berkata serangan sedemikian "jelas tindakan pengganas".
Ejen khas, Encik Rick DesLauriers, yang mengetuai pejabat Biro Siasatan Federal Boston, memberitahu media: "Ia adalah siasatan jenayah yang berkemungkinan menjadi siasatan pengganas."
Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, memimpin seruan dari seluruh dunia mengecam kejadian itu dan menyifatkan dua letupan itu sebagai tindakan kejam.
Canselor Jerman, Cik Angela Merkel, berkata beliau "terkejut" dan "tiada apa yang dapat dijadikan alasan bagi melakukan serangan sedemikian terhadap mereka yang menghadiri acara sukan yang aman".
Tahap keselamatan ditingkatkan di bandar-bandar utama Amerika di tengah-tengah kebimbangan berulangnya serangan seperti yang pernah berlaku pada 11 September 2001.
Menurut Encik Obama, mereka yang bertanggungjawab atas letupan yang berlaku selang beberapa saat antara satu dengan lain akan "menerima hukuman yang setimpal".
Di tapak kejadian, terdengar jeritan dan raungan sedang peserta acara larian dan penonton melarikan diri.
Seorang budak lelaki berusia lapan tahun dilaporkan antara mereka yang terbunuh akibat letupan itu.
Akhbar Boston Globe mengenal pasti budak lelaki itu sebagai Martin Richard. Ayah Martin, Encik William Richard, merupakan peserta acara maraton itu.
Ibu dan seorang saudara perempuannya cedera parah sementara seorang lagi saudara perempuannya tidak cedera.
Menurut gabenor wilayah Massachusetts, Encik Deval Patrick, lebih 100 orang cedera, tanpa memberikan jumlah tepat. Akhbar The Globe mengatakan lebih 140 orang cedera.
Media tempatan turut melaporkan bahawa para penyiasat memeriksa sebuah apartmen di Revere, kawasan luar bandar Boston, lewat kelmarin sementara sebuah stesen televisyen tempatan melaporkan pihak polis meninggalkan apartmen itu dengan beberapa beg sebelum fajar semalam.
Tiada kumpulan yang telah mengaku bertanggungjawan atas kejadian itu dan kumpulan Taleban Pakistan, yang mengaku bertanggungjawab atas serangan bom di Times Square, New York, pada 2010, menafikan terlibat dalam serangan itu.
Media Amerika melaporkan polis bercakap dengan seorang lelaki Arab Saudi berusia 20 tahun yang berada
dekat tapak kejadian, tetapi pihak berkuasa menegaskan tiada tangkapan telah dibuat dan mereka menyoal ramai orang. - AFP, AP.

No comments: