Followers

Pages

Thursday, May 3, 2012

Serangan maut 'sambut' Obama



MENCARI BUKTI: Seorang penyiasat sedang memeriksa serpihan dekat sebuah kenderaan yang rentung di tempat kejadian serangan bom nekad di Kabul, semalam, angkara perbuatan kumpulan Taleban. - Foto AFP

KABUL: Pengebom nekad kumpulan Taleban telah menyerang sebuah rumah tamu yang biasanya digunakan warga Barat di Kabul, semalam.

Ia berlaku beberapa jam selepas lawatan Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, ke Afghanistan, yang mendakwa perang sudah berakhir sempena ulang tahun pertama kematian pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden.


Tujuh orang terbunuh selepas para penyerang yang berpakaian burka meledakkan bom kereta selepas bertempur dengan para pengawal di kompleks rumah tamu 'Perkampungan Hijau' yang sering digunakan oleh pertubuhan asing, termasuk Kesatuan Eropah (EU), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan bantuan, kata para pegawai.

Keupayaan para penyerang itu menembusi sebuah kawasan yang dilengkapi dengan kawalan keselamatan yang ketat di ibu kota Afghanistan itu menimbulkan kebimbangan baru sedang pasukan keselamatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) menyerahkan tanggungjawab keselamatan negara itu kepada tentera Afghanistan dan mengundurkan tenteranya dalam masa dua tahun ini.

Kumpulan Taleban mendakwa bertanggungjawab atas serangan itu dan berkata ia adalah satu tindakan balas dendam terhadap Encik Obama, selang beberapa jam selepas beliau menandatangani perjanjian perikatan baru yang menentukan hubungan Afghanistan-Amerika selepas 2014.

Dalam ucapan pilihan rayanya, Encik Obama menyifatkan dirinya sebagai seorang panglima besar yang berupaya menamatkan dua perang panjang, menyusuli langkah tentera Amerika berundur dari Iraq dan mengalahkan Al-Qaeda serta cuba memulakan satu era baru bagi rakyat Amerika yang semakin bosan dengan konflik dan kemelesetan.

'Perang ini bermula di Afghanistan dan di sinilah ia akan berakhir,' kata Encik Obama sambil mengingatkan tentang 'asap hitam perang' yang menyelubungi sedekad lalu selepas Osama merancang serangan 11 September 2001 ke atas Amerika.

'Bagaimanapun, dalam suasana kegelapan sebelum fajar di Afghanistan, kita boleh melihat sinar satu hari yang baru di ufuknya,' kata Encik Obama, yang sedang berusaha menyambung jawatannya bagi penggal kedua di Rumah Putih pada lewat tahun ini.

Presiden Obama telah berangkat ke Kabul secara sulit pada tengah malam kelmarin dan menandatangani satu perjanjian dengan Presiden Afghanistan, Encik Hamid Karzai, di istana Encik Karzai bagi mengukuhkan lagi bantuan Amerika kepada Afghanistan selama sedekad selepas tentera Nato meninggalkan negara itu pada 2014.

Presiden Amerika itu meninggalkan istana Encik Karzai selepas enam jam di sana.

Kira-kira dua jam kemudian Perkampungan Hijau diserang.

Polis berkata para penyerang mula menyerang sekitar 6.15 pagi, waktu tempatan dan meletupkan bom kereta.

Kementerian Dalam Negeri Afghanistan berkata tujuh orang maut termasuk seorang pelajar dan seorang pengawal.

Jurucakap Kementerian Kesihatan, Encik Kargar Noorughli, berkata 18 orang cedera dan lapan dimasukkan ke hospital.

'Ia satu mesej kepada Obama bahawa beliau dan tenteranya tidak dialu-alukan di Afghanistan dan bahawa kami akan meneruskan tentangan sehingga semua yang menduduki negara kami mati atau meninggalkannya,' kata jurucakap Taleban, Zabiullah Mujahid, kepada agensi berita AFP.

No comments: